Sebagai seorang pesenam di Bukit Kiara Persekutuan, saya telah bangkitkan masalah yang dihadapi oleh kami di Kamar Khas di Parlimen pada 15 Februari 2023 (Rabu).
Ucapan saya dijawab oleh YB Nga Kor Ming, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan. Beliau membawa berita baik untuk kita dan KPKT memang akan menaiktaraf Bukit Kuara Persekutuan.
Ucapan saya dan jawapan YB Nga Kor Ming adalah seperti berikut 👇
Tuan Yang di-Pertua,
Taman Persekutuan Bukit Kiara yang adalah taman hutan di Kuala Lumpur yang amat disukai oleh ramai orang yang bersenam di Lembah Klang. Mengikut artikel “Taman Awam Bukit Kiara” yang tersiar dalam laman web Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), tapak taman ini pada asalnya menempatkan kawasan Nurseri FRIM Forest Research Institute of Malaysia (FRIM) yang telah diambil alih oleh DBKL pada bulan Februari 1995.
Saya ingin tanya kenapakah taman awam ini kemudian dialih daripada DBKL ke Jabatan Landskap Negara di bawah Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan? Apakah kebaikan yang telah dibawa kepada taman awam ini selepas pengalihan kuasa ini?
Sekiranya taman awam ini bukan lagi dikunjungi selia oleh DBKL, kenapakah artikel ini masih disiarkan dalam laman web DBKL? Kerajaan haruslah menetapkan nama rasmi bagi taman ini, kerana ia dinamakan sebagai “Taman Awam Bukit Kiara” di laman web DBKL manakala ia dinamakan sebagai “Taman Persekutuan Bukit Kiara” di bawah Jabatan Landskap Negara.
Saya difahamkan taman awam ini dikunjungi oleh beberapa ribu orang yang bersenam setiap hari. Namun, para pengunjung taman awam menghadapi dua masalah utama, pertama ialah kekurangan tempat letak kereta, dan kedua adalah ketiadaan tandas awam.
Masalah kekurangan tempat letak kereta adalah paling serius pada hari Ahad dan cuti awam di mana orang ramai bersenam di taman tersebut. Apakah Jabatan Landskap Negara akan melebarkan jalan masuk dari Changkat Abang Haji Openg ke pintu masuk Taman Awam Bukit Kiara dan menambahkan tempat letak kereta bagi pengunjung taman?
Oleh kerana Taman Awam Bukit Kiara dikunjungi oleh beribu-ribu orang awam setiap minggu, taman awam ini amat memerlukan tandas awam untuk kegunaan mereka. Saya ingin mencadangkan kepada Jabatan Landskap Negara membina tandas awam di tapak berdekatan dengan pondok pengawal di pintu masuk Bukit Kiara, demi mengelakkan penebangan pokok rimba di taman awam tersebut.
Saya mohon Menteri KPKT menyatakan berapakah peruntukan diberi kepada Taman Awam Bukit Kiara bagi tahun 2021, 2022 dan 2023? Apakah fokus penambahbaikan taman awam ini pada tahun 2023?
Sekian, terima kasih.
*******************************************
JAWAPAN Daripada Menteri:-
Tuan Yang di-Pertua,
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pada 5 Julai 2006, Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong Ke – XII bertitah supaya dikaji cadangan untuk mengadakan sebuah taman awam (public park) yang besar di Kuala Lumpur seperti Hyde Park, London yang berfungsi sebagai taman rekreasi untuk kegunaan orang ramai. Sehubungan itu, selaras dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 27 Jun 2007, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada ketika itu melalui Jabatan Landskap Negara (JLN) telah mengambil alih Taman Awam Bukit Kiara daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan diwartakan sebagai Taman Persekutuan. Pada Ogos 2010, JLN telah secara rasminya mengambil alih pembangunan dan pengurusan kawasan tersebut dan meneruskan usaha untuk mewartakan kawasan yang terlibat sebagai Taman Persekutuan. Pada November 2019, Perizaban Tanah Kerajaan di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara bagi sebahagian Lot 480589 berkeluasan 274.313 ekar untuk tujuan Taman Persekutuan Bukit Kiara telah diluluskan. Susulan itu, lot-lot tanah yang terlibat secara rasminya telah dinamakan sebagai Taman Persekutuan Bukit Kiara sebagaimana yang telah diwartakan.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat juga, Taman Awam Bukit Kiara yang disiarkan dalam artikel DBKL merupakan kawasan yang berbeza, namun terletak berhampiran dengan Taman Persekutuan Bukit Kiara. Taman Awam Bukit Kiara mempunyai keluasan sebanyak 14.515 ekar (termasuk kawasan Rumah Panjang). Pada asalnya taman ini diberi nama Taman Rimba Bukit Kiara dan telah ditukar kepada Taman Awam Bukit Kiara. Sehingga kini, taman ini adalah di bawah bidang kuasa dan pengurusan pihak DBKL.
Data pengunjung yang direkodkan pada tahun 2008 menunjukkan lebih dari 4,000 orang pengunjung mengunjungi taman ini pada hujung minggu. Pada tahun 2010, JLN secara rasminya mengambil alih taman ini. Hasil dari bancian yang dijalankan pada tahun 2018 di TPBK, seramai 1,500 sehingga 2,000 orang menggunakan taman pada hari bekerja dan jumlah ini meningkat kepada sekitar 5,000 sehingga 7,000 orang pada hari cuti hujung minggu dan cuti umum. Malah, pada tahun 2021 ketika Malaysia dalam fasa pemulihan pandemik COVID-19 dan pergerakan rakyat yang terbatas, seramai 550 orang pengunjung menggunakan taman ini sehari dan meningkat kepada lebih dari 2,500 sehingga 3,000 orang sehari pada hari minggu atau cuti umum. Penggunaan taman ini dijangka akan terus meningkat dan masalah kekurangan kawasan tempat letak kereta dan ketiadaan tandas awam perlu ditangani segera. Memandangkan kawasan tempat letak kereta sedia ada di sepanjang Changkat Abang Haji Openg berada di luar sempadan Taman Persekutuan Bukit Kiara, kerja-kerja pelebaran jalan tersebut adalah di luar bidang kuasa KPKT.
Dalam usaha untuk menangani masalah ini, JLN akan membangunkan Zon Pentadbiran Taman Persekutuan Bukit Kiara yang turut menyediakan sebanyak tambahan 127 lot tempat letak kenderaan dan kemudahan tandas awam. Tapak yang terlibat adalah berdekatan dengan pondok pengawal di pintu masuk Taman Persekutuan Bukit Kiara. Projek ini akan dilaksanakan pada tahun ini dan strategi komunikasi telah diadakan bagi tujuan hebahan umum. Pada 6 Disember 2022, Edisi Khas telah disiarkan di dalam surat khabar Berita Harian dan News Straits Times. Pada tarikh yang sama, satu sesi libat urus telah diadakan dan telah dihadiri oleh wakil-wakil penduduk, wakil agensi bukan kerajaan (NGO), wakil komuniti Bukit Kiara, wakil agensi kerajaan dan wakil pejabat Ahli Parlimen Segambut.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat juga, sebanyak RM2.75 juta telah dibelanjakan pada tahun 2021 dan sebanyak RM3.45 juta pula dibelanjakan pada tahun 2022 bagi tujuan pembangunan Taman Persekutuan Bukit Kiara. Di samping itu, peruntukan yang disalurkan bagi tujuan pengurusan Taman Persekutuan Bukit Kiara pada tahun 2021 dan 2022 adalah masing-masing sebanyak RM2.15 juta. Pada tahun 2023, sejumlah RM2.18 juta telah diperuntukkan dan diluluskan di Dewan Rakyat pada 20 Disember 2022.
Bagi tahun ini, KPKT melalui JLN akan memfokuskan kepada penambahbaikan dan naik taraf kemudahan-kemudahan rekreasi yang telah rosak dan usang. Ini adalah termasuk kemudahan di Zon Rekreasi Keluarga yang melibatkan pembinaan jambatan yang telah rosak serta kerja-kerja desilting kolam, sungai serta membaik pulih struktur dan kerja berkaitan di Taman Persekutuan Bukit Kiara yang sedang dalam peringkat reka bentuk akhir. Bagi tujuan kemudahan pengunjung yang menggunakan laluan denai dan laluan hutan, papan tanda arah, informasi denai, puncak serta stesen hentian disediakan bagi tujuan keselamatan. Selain itu, kerja-kerja penjarangan pokok-pokok getah tua yang telah mati dan mempunyai risiko disebabkan serangan penyakit akan dilaksanakan dengan penanaman semula pokok-pokok hutan yang lebih bernilai tinggi.
Sekian, terima kasih.