Skip to content
TERESAKOK
Menu
  • About
  • Contact
Menu

[Bhg 3] Ucapan Teresa Kok dalam perbahasan bajet 2022 berkenaan Isu Pelarangan Penjualan Arak Di Kedai Serbeneka & Kedai Ubat Tradisi Cina Di Kuala Lumpur, dan Isu Kerajaan Menghendaki Whisky Timah Bertukar Nama

Posted on Thursday, 11-11-2021Thursday, 11-11-2021 by Editorial Team

Datuk yang diPertua, saya dan rakan-rakan Ahli Parlimen bukan Islam di Kuala Lumpur merasa amat kesal dengan garispanduan halangan penjualan minuman keras di kedai runcit, kedai serbaneka dan kedai ubat Cina oleh DBKL yang telah berkuatkuasa pada 1 November 2021 atas sokongan Menteri Wilayah Persekutuan. Garis panduan ini amat tidak adil, menekan peniaga serta membebankan masyarakat bukan Islam.

Larangan ini menyekat hak peniaga untuk berniaga serta menjual barang-barang yang sah di segi undang-undang di samping menyusahkan pembeli di kalangan masyarakat bukan Islam di Kuala Lumpur.

Kami ahli-ahli Parlimen bukan Islam di Kuala Lumpur ini menghormati agama Islam. Kami tahu arak adalah haram untuk umat Islam. Tetapi apa yang haram kepada orang Islam tidak boleh dipaksakan terhadap orang bukan Islam, terutamanya dalam hal makan minum. Hak ini merupakan hak setiap rakyat yang telah dipersetujui bersama oleh tokoh-tokoh kemerdekaan kita yang telah menjadi tunjang kepada Perlembagaan Persekutuan.

Malah, larangan tambahan DBKL itu akan menjejaskan imej dan impian untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai Bandaraya Kelas Dunia (World Class City) yang bakal meraikan jutaan warga dunia daripada pelbagai latar belakang agama, budaya dan cara hidup.

Kami bersama beberapa persatuan perniagaan minuman keras telah mengadakan beberapa perjumpaan dengan Menteri Wilayah Persekutuan, YB Arau berkenaan isu ini. Namun, nampaknya beliau tidak mengambil serius pendirian serta cadangan persatuan perniagaan tersebut.

Selama ini kedai-kedai runcit dan serbaneka di bawah The Associated Liquor Merchants Association of Malaysia (ALMA) sememangnya mematuhi peraturan garis panduan DBKL berhubung penjualan minuman keras selama ini, iaitu:
I) Minuman keras hanya dijual kepada orang bukan Islam yang berumur 21 tahun ke atas;
II) Kedai yang menjual minuman keras tidak berada di lingkungan jarak 100 meter di hadapan rumah ibadat, sekolah, hospital/klinik dan juga dalam lingkungan 10 kedai dari kedai yang menjual minuman keras yang lain;
III) Tidak menjual minuman keras selepas pukul 9 malam;
IV) Hanya jual minuman keras yang berdaftar dengan Jabatan Kastam DiRaja.

Pematuhan garis panduan di atas sebenarnya telah cukup untuk mencegah orang Islam atau mana-mana remaja daripada membeli minuman arak.

Selain itu, kedai runcit, kedai serbaneka dan kedai ubat Cina yang menjual minuman beralkohol merupakan perniagaan kecil yang dimiliki dan diuruskan oleh orang bukan Islam. Hasil penjualan minuman merupakan salah satu sumber pendapatan yang penting bagi kedai-kedai serbaneka ini.

Apa yang tidak masuk akal dalam garispanduan DBKL ini adalah, minuman keras boleh dijual di hotel, di pub dan pasaraya, tetapi ia tidak boleh dijual di kedai runcit, kedai serbaneka dan kedai ubat Cina. Kenapakah halangan ini hanya dituju kepada golongan kedai kecil dan menengah ataupun SME di Kuala Lumpur sahaja?

Datuk yang diPertua, saya difahamkan YB Arau, Menteri Wilayah Persekutuan pernah berjumpa dengan pihak ALMA dan wakil industri penjualan arak pada beberapa hari yang lepas. Menteri mencadangkan wakil kedai serbaneka dan kedai ubat Cina ini memohon kepada SSM untuk tukar status kedai mereka daripada “kedai runcit” kepada “pasaraya” kerana pasaraya dibenarkan untuk menjual minuman keras dalam garis panduan DBKL tersebut?

Cadangan ini langsung tidak masuk akal. Ini bermaksud pada masa yang akan datang, banyak kedai runcit di seluruh Kuala Lumpur akan naik pangkat menjadi “pasaraya”! Kalau garispanduan larangan penjualan arak DBKL ini tidak sesuai, batalkan garispanduan ini, dan bukan minta kedai-kedai runcit tukar status kepada “pasaraya”.

YB Menteri dari Arau juga kata halangan penjualan minuman keras ini dikeluarkan oleh Lembaga Pelesenan Arak dan bukan beliau. Saya ingin cadang Menteri pecat semua anggota Lembaga ini kerana mereka telah membuat keputusan yang amat tidak masuk akal, mereka gagal memahami industri penjualan minuman keras dan membuat keputusan yang begitu kontroversial, merosakkan nama baik Menteri dari Arau dan merosakkan slogan “Keluarga Malaysia” yang dipelopori oleh Kerajaan.

Datuk yang diPertua, saya juga merasa kesal atas cara kerajaan menyusahkan whiskey Timah buatan Malaysia yang yang pernah menang “Silver Award” di San Francisco World Spirit Competition (SFWSC) 2020. Saya difahamkan selepas isu Timah whiskey ini menjadi kontroversial oleh pihak-pihak tertentu, kerajaan mendesak pengeluar whiskey ini untuk tukar nama kepada “Bijih Timah”. Masalahnya, “Timah” adalah nama ataupun “brand” ataupun “trade name” produk ini. Nama ini menyebabkan whiskey ini menang hadiah antarabangsa. Nama sesuatu produk memang tidak boleh ditukar dengan sewenang-wenangnya.

Saya difahamkan lesen pembuatan Timah whiskey yang telah tamat pada akhir Oktober tidak diperbaharui sehingga hari ini. Apakah ini adil? Kita tahu “Timah” bukan nama orang Islam dan ia sebenarnya merujuk kepada sejenis logam dalam Bahasa Malaysia. Kenapakah ia dijadikan isu sehingga kerajaan nak mendesak syarikat itu tukar nama produknya?

Kita tahu terdapat sekurang-kurangnya 20 nama minuman arak yang mempunyai nama yang mirip dengan nama Muslim di pasaran minuman keras, apakah semua produk yang dikeluarkan di luar negara ini akan dilarang import masuk ke Malaysia?? Bukankah kesemua tindakan ini bercanggah dengan jiwa dan prinsip slogan “Keluarga Malaysia” yang dipelopori oleh kerajaan sekarang?

Sekira kerajaan terus degil untuk menekan dan tidak membaharui lesen pengeluaran whiskey Timah, tindakan yang tidak adil ini pasti akan merosakkan hubungan di antara kerajaan dan pihak swasta.

Tindakan yang tidak mesra dengan bisnes ini bukan sahaja menjejaskan imej Malaysia, ia juga akan menjejaskan segala usaha kerajaan untuk menarik kemasukan pelaburan asing. Pelabur asing tidak pasti bilakah kerajaan akan Tarik balik lesen perniagaan ataupun lesen pembuatan mereka dan minta mereka tukar nama produk atas alasan yang tidak masuk agal.

Saya menyeru kerajaan mengkaji semula keputusan mereka yang tidak mesra bisnes dan tidak adil terhadap syarikat Malaysia ini.

Sekian, terima kasih.

About

Teresa Kok

About Teresa

Teresa Kok (郭素沁) is Seputeh's MP and DAP Vice-chairman. Born and bred in Kuala Lumpur, Teresa is a second-generation Malaysian of Chinese descent. n the 2008-2013 term she was Selangor Senior State Executive Councillor for Investment, Industry and Trade and State Assemblyperson for Kinrara.

Learn More

Recent Articles

  • 𝐉𝐊𝐏𝐓𝐆 𝐦𝐞𝐥𝐮𝐥𝐮𝐬𝐤𝐚𝐧 𝐩𝐞𝐧𝐲𝐞𝐰𝐚𝐚𝐧 𝐭𝐚𝐩𝐚𝐤 𝐬𝐞𝐤𝐨𝐥𝐚𝐡 𝐭𝐞𝐫𝐛𝐞𝐧𝐠𝐤𝐚𝐥𝐚𝐢, 𝐒𝐊 𝐃𝐚𝐧𝐚𝐮 𝐏𝐞𝐫𝐝𝐚𝐧𝐚 𝐤𝐞𝐩𝐚𝐝𝐚 𝐬𝐲𝐚𝐫𝐢𝐤𝐚𝐭 𝐩𝐞𝐧𝐣𝐮𝐚𝐥 𝐤𝐞𝐫𝐞𝐭𝐚 𝐭𝐚𝐧𝐩𝐚 𝐝𝐚𝐩𝐚𝐭 𝐩𝐞𝐫𝐬𝐞𝐭𝐮𝐣𝐮𝐚𝐧 𝐊𝐏𝐌
  • 𝐌𝐄𝐍𝐓𝐄𝐑𝐈 𝐏𝐄𝐌𝐁𝐀𝐍𝐆𝐔𝐍𝐀𝐍 𝐖𝐀𝐍𝐈𝐓𝐀, 𝐊𝐄𝐋𝐔𝐀𝐑𝐆𝐀 𝐃𝐀𝐍 𝐌𝐀𝐒𝐘𝐀𝐑𝐀𝐊𝐀𝐓 𝑑𝑖𝑚𝑖𝑛𝑡𝑎 𝑚𝑒𝑛𝑦𝑎𝑡𝑎𝑘𝑎𝑛 𝑎𝑝𝑎𝑘𝑎ℎ 𝑝𝑟𝑜𝑠𝑒𝑑𝑢𝑟 𝑚𝑒𝑛𝑑𝑎𝑓𝑡𝑎𝑟𝑘𝑎𝑛 𝑃𝑢𝑠𝑎𝑡 𝐾ℎ𝑖𝑑𝑚𝑎𝑡 𝐼𝑏𝑢 𝑆𝑒𝑙𝑒𝑝𝑎𝑠 𝐵𝑒𝑟𝑠𝑎𝑙𝑖𝑛 (𝐶𝑜𝑛𝑓𝑖𝑛𝑒𝑚𝑒𝑛𝑡 𝐶𝑒𝑛𝑡𝑟𝑒).
  • 𝐊𝐄𝐍𝐘𝐀𝐓𝐀𝐀𝐍 𝐌𝐄𝐃𝐈𝐀 𝐘𝐁 𝐏𝐄𝐍𝐆𝐄𝐑𝐔𝐒𝐈 𝐏𝐀𝐂 𝐁𝐀𝐆𝐈 𝐏𝐄𝐌𝐁𝐄𝐍𝐓𝐀𝐍𝐆𝐀𝐍 𝐏𝐄𝐍𝐘𝐀𝐓𝐀 𝐏𝐀𝐂 𝐁𝐄𝐑𝐇𝐔𝐁𝐔𝐍𝐆 𝐏𝐄𝐍𝐆𝐔𝐑𝐔𝐒𝐀𝐍 𝐊𝐀𝐖𝐀𝐋𝐀𝐍 𝐇𝐀𝐑𝐆𝐀 𝐃𝐀𝐍 𝐒𝐔𝐁𝐒𝐈𝐃𝐈 𝐌𝐈𝐍𝐘𝐀𝐊 𝐌𝐀𝐒𝐀𝐊 𝐃𝐈 𝐁𝐀𝐖𝐀𝐇 𝐊𝐄𝐌𝐄𝐍𝐓𝐄𝐑𝐈𝐀𝐍 𝐏𝐄𝐑𝐃𝐀𝐆𝐀𝐍𝐆𝐀𝐍 𝐃𝐀𝐋𝐀𝐌 𝐍𝐄𝐆𝐄𝐑𝐈 𝐃𝐀𝐍 𝐊𝐎𝐒 𝐒𝐀𝐑𝐀 𝐇𝐈𝐃𝐔𝐏 𝐏𝐀𝐃𝐀 𝟏𝟔 𝐉𝐔𝐋𝐀𝐈 𝟐𝟎𝟐𝟔
  • (no title)
  • UCAPAN PERBAHASAN RANG UNDANG-UNDANG PROFESION KERJA SOSIAL OLEH TERESA KOK, AHLI PARLIMEN SEPUTEH PADA 14 JULAI 2026
  • MENTERI PERLADANGAN DAN KOMODITI diminta menyatakan status penaiktarafan semua depot biodiesel di Malaysia untuk menyimpan, mengadun dan mengedar biodiesel B20
  • Pembatalan Penyewaan Tapak Bekas SK Danau Perdana Bukti Keperluan Reformasi Tadbir Urus Tanah Persekutuan (14 Julai 2026)
  • 郭素沁:撤销前达瑙柏兰岭国小旧址租约 反映联邦土地治理须改革
  • Govt Urged to Implement PAC Recommendation to Establish KL Land Committee After SK Danau Perdana Lease Reversal (14 July 2026)
  • 𝐌𝐄𝐍𝐓𝐄𝐑𝐈 𝐏𝐄𝐌𝐁𝐀𝐍𝐆𝐔𝐍𝐀𝐍 𝐔𝐒𝐀𝐇𝐀𝐖𝐀𝐍 𝐃𝐀𝐍 𝐊𝐎𝐏𝐄𝐑𝐀𝐒𝐈 𝑑𝑖𝑚𝑖𝑛𝑡𝑎 𝑚𝑒𝑛𝑦𝑎𝑡𝑎𝑘𝑎𝑛 𝑗𝑢𝑚𝑙𝑎ℎ 𝑎𝑑𝑢𝑎𝑛 𝑑𝑖𝑡𝑒𝑟𝑖𝑚𝑎 𝑜𝑙𝑒ℎ 𝐾𝑒𝑚𝑒𝑛𝑡𝑒𝑟𝑖𝑎𝑛 𝑏𝑒𝑟ℎ𝑢𝑏𝑢𝑛𝑔 𝑑𝑎𝑘𝑤𝑎𝑎𝑛 𝑟𝑎𝑠𝑢𝑎ℎ 𝑚𝑒𝑙𝑖𝑏𝑎𝑡𝑘𝑎𝑛 𝑘𝑜𝑝𝑒𝑟𝑎𝑠𝑖 𝑑𝑎𝑙𝑎𝑚 5 𝑡𝑎ℎ𝑢𝑛 𝑦𝑎𝑛𝑔 𝑙𝑒𝑝𝑎𝑠.
  • UCAPAN TERESA KOK DALAM PERBAHASAN RUU PINDAAH AKTA KAWALAN PADI DAN BERAS 1994 PADA 9 JULAI 2026
  • Perbahasan berkenaan Penambahbaikan Perkhidmatan Bersepadu One Stop Crisis Center (OSCC) pada 9 Julai 2026
  • KSN DAN KP JKPTG DISERU MEMBATALKAN KONTRAK PENYEWAAN TAPAK SEKOLAH (LOT 54836) DI TAMAN DESA KEPADA SYARIKAT SWASTA
  • MENTERI PENDIDIKAN diminta menyatakan bilangan murid-murid darjah satu di setiap sekolah rendah jenis kebangsaan Cina di kawasan Parlimen Seputeh dan Bukit Bintang pada tahun 2023, 2024, 2025 dan 2026
  • Ucapan Perbahasan Teresa Kok (Seputeh) Laporan SUHAKAM 2024 Pada 7 Julai 2026

Article Archives

© 2026 TERESAKOK | Powered by Minimalist Blog WordPress Theme