Today, I am glad that I was given a chance to speak in the motion of thanks at Parliament House. Thanks to Tony Pua for giving way for me to deliver my speech in Parliament today. The party has given to the Speaker a list of MPs that want to deliver speeches in Parliament. I was forced to “jump queue” as I have to attend the Selangor state assembly sitting next week. I won’t have time to wait for my turn to speak in Parliament next week.
In my speech today, I touched on the role of SEDA in Renewable Energy, high credit card interest, implementation of ‘build and sell’ concept, the problems of education ministry sabotaging chinese school land given by Selangor state government, and lastly a few sentences on retirement homes.
=============================================================
Ucapan Teresa Kok, Ahli Parlimen Seputeh Dalam Perbahasan Usul Menjunjung Kasih YDP Agong Di Dewan Rakyat Pada 15b Mac 2012
Kelembaban Perkembangan Tenaga Boleh Diperbaharui Di Bawah Akta Tenaga Diperbaharui 2011
Pada zaman moden ini, tenaga boleh diperbaharui diiktiraf sebagai sesuatu sumber yang penting dalam mengurangkan ataupun menangani perubahan iklim. Ia merupakan penyelesaian alternatif demi keselamatan tenaga, menyumbang ke arah pembangunan ekonomi negara serta mewujudkan peluang pekerjaan.
Setakat ini, terdapat lebih daripada 300 GW (Giga-Watts) kapasiti tenaga boleh diperbaharui telah dipasang di seluruh dunia. Di kalangan negara yang giat mempromosikan tenaga boleh diperbaharui, Negara Jerman telah menunjukkan contoh yang baik dengan merintis dalam mekanisme Tarif Galakan (Feed-in Tariff). Malaysia telah meluluskan Akta Tenaga Diperbaharui pada bulan April 2011 dengan mencontohi dasar Negara Jerman.
Pelaburan semula Malaysia dalam tenaga boleh diperbaharui didorong oleh komitmen kita untuk mengurangkan keamatan pengeluaran karbon sehingga 40% berbanding dengan Keluaran Dalam Negara Kasar(GDP) menjelang tahun 2020 berbanding dengan tahap pada tahun 2005. Sasaran ini telah diumumkan oleh Perdana Menteri kita di COP 15 (Persidangan Parti-Parti) di Copenhagen pada bulan Disember 2009 yang lalu. Kita juga mengiktirafkan teknologi hijau, khususnya teknologi solar, telah menjana lebih daripada RM14 bilion pelaburan asing secara langsung ke Malaysia dan mewujudkan lebih kurang 10,000 peluang pekerjaan yang berpendapatan tinggi.
Sungguhpun begitu, Rancangan Malaysia ke-8 dan ke-9 telah memberi pengajaran kepada kita bahawa aspirasi tanpa tindakan yang efektif tidak akan mencapai kejayaan, di mana Malaysia mencapai prestasi yang tidak memuaskan dalam mencapai sasaran 350 MW tenaga boleh diperbaharui kita pada akhir tahun 2010.
Malaysia mengakui bahawa untuk merealisasikan potensi tenaga boleh diperbaharui di negara ini, kita perlu mengembangkan tenaga boleh diperbaharui dengan semangat cekal dan komitmen utuh. Oleh itu, apabila Parlimen telah meluluskan Akta tenaga boleh diperbaharui tahun lepas, kami meletakkan harapan yang tinggi bahawa Malaysia dapat merintis pembangunan tenaga boleh diperbaharui di rantau ini dan menjadi pusat teknologi hijau.
Rancangan Malaysia Ke-10 berhasrat untuk menjana 985 MW kapasiti tenaga boleh diperbaharui menjelang 2015, sasaran ini adalah menuju kepada matlamat penghasilan 2,000 MW tenaga boleh diperbaharui menjelang tahun 2020, seperti apa yang diumumkan oleh Perdana Menteri dalam 2 tahun yang lalu. Soalan hari ini, adakah kita sedang menuju ke arah sasaran ini?
Sekiranya kita mengimbas kembali, sejak Akta Tenaga Boleh Diperbaharui telah diluluskan, tindakan ke arah mencapai matlamatnya telah dibelenggu oleh beberapa faktor kelewatan dan kekurangan persediaan. Tarif Galakan, yang sepatutnya bermula pada September 2011, telah ditangguhkan sehingga 1 Disember 2011. Akhirnya, apabila ia dilancarkan, hanya sedikit maklumat yang didedahkan tentang bagaimana untuk memohon insentif ini. Ini menyebabkan orang ramai tidak sedar tentang projek dan prosedur ini. Selain itu, kami juga mendapati bahawa permohonan untuk Tarif Galakan Solar telah dimonopoli oleh beberapa pihak yang mengambil kesempatan untuk memenuhi kuota.
Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) yang diamanahkan untuk menguruskan pelaksanaan Tarif Galakan di bawah Akta Tenaga Boleh Diperbaharui, juga telah gagal untuk mendedahkan maklumat mengenai bagaimana tarif tersebut telah dianugerahkan secara terbuka. Butir-butir projek Tenaga Boleh Diperbaharui yang diluluskan juga tidak dikemukakan termasuk pencapaian mereka, pengurusan Tabung Tenaga Boleh Diperbaharui, dan banyak maklumat yang kritikal yang lain. SEDA juga gagal untuk menyemak semula kadar pengurangan untuk teknologi PV solar, terutamanya apabila kos teknologi solar global jatuh pada kira-kira 40% di antara Ogos hingga Disember 2011. SEDA juga seolah-olah tidak bersedia kerana ia sentiasa mengubah peraturan selepas Tarif Galakan telah dilancarkan, dan juga mengehadkan pemaju tenaga boleh diperbaharui di Sabah daripada mendapat faedah daripada tarif ini.
Kami juga amat bimbang kerana institusi kewangan tidak begitu menyokong projek Tenaga Boleh Diperbaharui walaupun keselamatan Tarif Galakan terjamin. Oleh itu, kita perlu memahami apakah tindakan yang telah diambil oleh SEDA untuk bekerjasama dengan pihak bank, terutamanya bagi menyediakan bantuan kewangan kepada orang awam untuk memasang PV solar di rumah mereka. Terdapat juga banyak komen tentang kuota terhad untuk teknologi PV solar, saya menggesa SEDA serta Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air menangani isu ini secepat mungkin. Setahu saya, sehingga hari ini, SEDA hanya meluluskan kira-kira 370 MW kapasiti RE sehingga 2014. Ini bermakna bahawa SEDA perlu meluluskan lebih daripada 600 MW dalam tempoh setahun sahaja pada tahun 2015 untuk memastikan bahawa Malaysia masih boleh mencapai sasaran Tenaga Boleh Diperbaharui dalam Rancangan Malaysia Ke-10.
Datuk yang diPertua, memang tidaklah terlalu lewat untuk membetulkan kesilapan ini, tetapi kementerian perlu memantau tindakan dan prestasi SEDA, serta menilai semula kecekapan ahli-ahli pihak berkuasa dan pengurusan SEDA. Saya mencadangkan supaya PEMANDU diberi kuasa untuk memantau dan melaporkan kepada Parlimen ini tentang perkara ini dari semasa ke semasa.
Pertimbangan Semula Diperlukan Pada Peningkatan Dalam Kadar Faedah Kad Kredit
Baru-baru ini, kenaikan kadar faedah kad kredit di sesetengah bank, yang dijangka diguna pakai oleh kebanyakan bank dalam masa terdekat, perlu dipertimbangkan dengan serius oleh Bank Negara, kerana ini hanya akan memerangkap dan membebankan rakyat Malaysia yang banyak menggunakan kad kredit dalam era ini.
Hutang isi rumah di Malaysia semakin meningkat dan dengan peningkatan kadar faedah kad kredit ini (sekarang antara 16-18% setahun dalam beberapa kes), ia menimbulkan soalan samada kerajaan memberi perhatian kepada pengguna kad kredit dan mendidik rakyat tentang risiko penggunaan kad kredit.
Menurut kajian di Malaysia, kaum muda yang bekerja yang menggunakan kad kredit telah mencapai peratusan tertinggi. Mereka juga mencatat hutang tertinggi kepada bank. Fenomena ini amat membimbangkan bagi masa depan Malaysia. Ekonomi Malaysia berkembang pesat dan status pemodenan telah menjerat para dewasa yang bekerja untuk menggunakan kad kredit. Skim kad kredit juga memerangkapkan para pengguna kad kredit supaya membayar balik penggunaan bulanan sebelum akhir bulan ataupun sebelum mereka menerima gaji bulanan. Ini telah menyumbang kepada bayaran lewat, yang seterusnya meningkatkan jumlah dan peratusan pembayaran faedah tahunan. Terdapat beberapa bank yang hanya memberikan tempoh 3 minggu untuk pembayaran balik dan bukannya 4 minggu, cara bank menghendaki pememang kad kredit membayar sebelum mendapat gaji bulanan mereka memang menyusahkan ramai pemegang kad kredit. Saya ingin meminta Bank Negara membetulkan tindakan sesetengah bank tersebut.
Di sini, saya ingin menekankan beberapa perkara daripada satu rencana dalam akhbar The Star (10 reasons why credit card rates must not be raised – oleh P. Gunasegaran) pada 10 Mac 2012, StarBizWeek halaman 3, untuk menggesa kerajaan supaya mencampur tangan dalam kadar faedah kad kredit.
1. Kadar faedah terlalu tinggi walaupun Bank Negara mengatakan ia bukan arahan mereka. Saya ingin menggesa kerajaan dan Bank Negara menurunkan kadar faedah kad kredit maksimum kepada amaun yang boleh diterima seperti 5-10% sementara kadar pinjaman purata bank perdagangan adalah hanya 5%. Kadar faedah semasa adalah kira-kira 300% lebih daripada kadar pinjaman ini dan ini tidak harus berlaku. Di samping itu, bank telah melakarkan margin keuntungan yang tinggi pada kadar faedah ini berbanding dengan pulangan rendah yang mereka memperuntukkan bagi akaun simpanan dan deposit tetap (1-3%). Oleh itu, mengurangkan kadar faedah bukan sahaja adil tetapi juga penting sekiranya Kerajaan Malaysia menginginkan penduduk yang sihat dan bebas daripada hutang.
2. Kerajaan harus mengarahkan semua bank supaya lebih bertimbang rasa dan adil dalam penalti bayaran lewat. Amalan sekarang ialah penalti sekurang-kurangnya RM10 atau 1% daripada jumlah kad tertunggak – yang mana lebih tinggi dikenakan kepada pemegang kad kredit. Ini adalah dua kali ganda daripada 0.5% pada masa lalu dan boleh mencecah 3650% setahun. Maksudnya jika pemegang kad kredit mempunyai baki RM100 dan gagal membayar ansuran pada masa yang ditetapkan, walaupun kad kredit tidak digunakan melebihi had, dia akan dikenakan bayaran RM 10 sehari atau 3650% setahun atas baki tersebut. Ini adalah keterlaluan dan langsung tidak masuk akal.
Terdapat banyak kepincangan lain dan amalan yang tidak adil oleh bank dan syarikat kad kredit, kerajaan harus memandang perkara ini dengan serius. Ramai orang perlu menggunakan kad kredit dan kadang-kadang mereka terpaksa melanggan sekurang-kurangnya satu kad kredit untuk membuat pembayaran bil dan debit secara langsung untuk pembelian dan sebagainya. Oleh itu saya cadangkan bahawa kerajaan mengarahkan bank supaya menghentikan semua peningkatan dalam kadar faedah dan kembali kepada kadar lama sehingga satu kajian dilakukan. Selain itu, kerajaan seharusnya mengarahkan bank-bank untuk mengurangkan kadar faedah kepada jumlah yang munasabah dan berperikemanusiaan.
Pelarasan Konsep ‘Bina dan Jual’ Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT)
YB Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah mengumumkan konsep ‘ bina dan jual akan diwajibkan 2015 (membina rumah pertama sebelum menjual). Walau bagaimanapun, Persatuan Pembeli Rumah telah berkata ia meragui pengumuman ini kerana Menteri dikementerian ini telah bertukar beberapa kali dalam beberapa tahun yang lepas.
Persatuan Pembeli Rumah mencadangkan konsep “bina dan jual” ini dilaksanakan secara berperingkat untuk menunjukkan keikhlasan kerajaan dalam isu ini. Maksudnya kerajaan perlu meminta semua pemaju untuk mengambil bahagian dalam konsep ‘bina dan jual’. Amalan konsep tersebut boleh dimulakan dengan 10-20% daripada pembangunan secara berperingkat mulai tahun ini, dan meningkatkan peratusan pada tahun 2013 dan sebagainya. Ini akan mengelakkan anjakan paradigma yang besar jika semua hanya diperkenalkan pada tahun 2015.
Kementerian Pelajaran Sabotaj Keinginan Kerajaan Negeri Selangor Untuk Mengatasi Masalah Kekurangan Sekolah Cina di Puchong dan di Selangor
Pada 23 September 2011, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) telah meluluskan permohonan tanah lot 65768 dan 65766 di Taman Tasik Prima Puchong bagi pembinaan SJKC Yak Chee (2) dan SMJK Katholik (2) dan sekolah kanak-kanak Autisme. Tanah rezab sekolah tersebut masih belum dipohon oleh JKPTG (pihak Kerajaan Persekutuan) dan masih di bawah Kerajaan Negeri Selangor.
Pada 30 September 2011, kerajaan Negeri Selangor telah menulis surat kepada Kementerian Pelajaran menyatakan sokongan kerajaan Negeri Selangor terhadap permohonan Lembaga Pengurus SJKC Yak Chee dan SMJK Katholik untuk membina cawangan sekolah di Taman Tasik Prima Puchong dan memohon Kementerian Pelajaran untuk mengeluarkan permit kepada kedua-dua sekolah tersebut.
Kesalnya, Kementerian Pelajaran Malaysia menjawab Kerajaan Negeri Selangor dalam surat bertarikh 25 November 2011 dengan menyatakan bahawa Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) memutuskan mengekalkan tanah rezab pendidikan yang berkeluasan 13 ekar sebagai tapak SK dan SMK Taman Prima Puchong, jadi KPM tidak dapat mempertimbangkan cadangan Kerajaan Negeri Selangor.
Pada 28 Februari 2012, KPM malah memohon tanah rezab sekolah di Tasik Prima Puchong tersebut walaupun Kerajaan Negeri Selangor telah memperuntukkan kedua-dua lot tanah tersebut kepada kedua-dua sekolah tersebut.
Memandangkan tanah rezab sekolah di Taman Tasik Prima Puchong masih tertakluk di bawah Kerajaan Negeri Selangor, KPM memang tidak berhak untuk menentukan kegunaan tanah rezab sekolah tersebut. Cara KPM membuat permohonan di tanah rezab sekolah yang sama tersebut menunjukkan bahawa KPM memang tidak berhasrat untuk menyelesaikan masalah kekurangan sekolah Cina di kawasan Puchong dan Negeri Selangor, tetapi sebaliknya mereka memang ingin sabotaj usaha Kerajaan Selangor untuk mengatasi masalah tersebut.
Jawapan Parlimen bertarikh 14 Mac 2012 oleh KPM kepada saya yang menyatakan bahawa KPM mempunyai perancangan untuk membina sekolah kebangsaan di tanah rezab sekolah di Taman Tasik Prima Puchong tersebut adalah tidak berasas kerana KPM sepatutnya membuat permohonan kepada Kerajaan Negeri Selangor jauh lebih awal daripada sekarang, dan bukan dibuat selepas Kerajaan Negeri Selangor telah memberi tanah kepada lembaga pengurus ketiga-tiga sekolah berkenaan.
Selain itu, terdapat 4 sekolah rendah kebangsaan dan 2 sekolah menengah kebangsaan di sekitar 3 km radius daripada tanah rezab sekolah di Taman Tasik Prima Puchong. Jadi keperluan sekolah kebangsaan di sekitar tempat tersebut telahpun dipenuhi dan memang tidak perlu sekolah rendah dan sekolah menengah kebangsaan di tempat itu lagi.
Pemimpin kerajaan persekutuan BN, daripada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Timbalan Menteri Pelajaran dan Presiden MCA telah banyak kali membidas Kerajaan Selangor tidak memberi tanah kepada sekolah Cina, tetapi apabila Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan tanah kepada sekolah Cina, apa yang kita lihat ialah pihak KPM cuba sabotaj usaha Kerajaan Selangor.
Kini, semakin ramai ibubapa kaum bukan Cina menghantar anak mereka untuk belajar di sekolah Cina, ini bermaksud sekolah Cina bukan untuk pelajar kaum Cina sahaja tetapi ia telah menjadi sekolah pelbagai kaum.
Di sini, saya ingin menyeru Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran supaya menunjukkan kejujuran mereka untuk membantu sekolah Cina dan jangan berulang-ulang pembohongan mereka kepada masyarakat bandar.
Kementerian Kesihatan dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan diseru untuk mengadakan garispanduan terhadap Kampong Persaraan (Retirement Homes)
Malaysia telah menjadi semakin menarik bagi orang asing untuk bermastautin di Malaysia melalui program MALAYSIA MY SECOND HOME (MM2H). Jadi pembinaan Kampong Persaraan (retirement homes) merupakan salah satu cara yang baik untuk menarik orang asing untuk bermastautin di Malaysia, khususnya mereka dari Negara Korea, Jepun dan negara-negara maju yang lain. Kebanyakan mereka yang datang ke Malaysia juga merupakan jutawan.
Walau bagaimanapun, memandangkan perlunya unit perubatan, samada klinik ataupun hospital kecil yang boleh menjaga pesakit lebih daripada 24 jam mesti mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan, dan Kementerian kesihatan selalunya mengenakan banyak syarat dalam unit macam ini.
Di sini, saya ingin menyeru Kementerian Kesihatan dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan supaya boleh sama-sama mengeluarkan garispanduan untuk membina Kampong Persaraan, supaya usaha untuk menarik masuk dana asing ke Malaysia melalui Kampong Persaraan boleh dijayakan.
Teresa Kok