Today i managed to deliver my speech on Renewable Energy bill in Parliament. This is the bill that I have waited for quite some time. I have consulted some RE investors on this matter and they have given me their inputs. They sound very frustated with government’s half-hearted policy on RE. I hope the Ministry can take their views seriously.
Below is my speech:
Ucapan Teresa Kok, Ahli Parlimen Seputeh Dalam Perbahasan Rang Undang-Undang Tenaga Boleh Baharu 2010 Pada 4 April 2011
Datuk yang diPertua, saya mengalu-alukan Rang Undang-Undang Tenaga Boleh Baharu yang telah disebut-sebutkan oleh Kerajaan selama beberapa tahun ini dibentangkan di dewan yang mulia ini, tetapi saya memang ada beberapa isu dan persoalan mengenai RUU ini.
Nama RUU Seharusnya “Tenaga Boleh Diperbaharui”
Pertama kali, kenapakah RUU ini dinamakan “Tenaga Boleh Baharu”? Bukankah ia lebih tepat dinamakan sebagai “tenaga boleh diperbaharui”? Apakah Kementerian pernah merujuk kepada Dewan Bahasa dan Pustaka tentang nama RUU ini?
Apakah Negara Kita Mempunyai Dasar Tenaga Boleh Baharu?
Datuk yang diPertua, sebelum saya menyentuh tentang beberapa isu yang terperinci dalam rang undang-undang (RUU) ini, saya ingin tanya samada Kerajaan telah menggubal polisi Tenaga Boleh Diperbaharui Negara. Sekiranya terdapatnya dasar tersebut, saya ingin tanya apakah matlamat polisi tersebut dan di manakah kita boleh dapat baca dasar tersebut? Kenapakah dasar Tenaga Boleh Diperbaharui ini tidak pernah dimaklumkan kepada orang ramai?
Tujuan wujudnya RUU Tenaga Boleh Baharu adalah untuk mewujudkan dan melaksanakan tarif khas demi memangkinkan penjanaan tenaga boleh diperbaharui. Persoalannya ialah:
Apakah Kerajaan pernah menjalankan kajian yang mendalam yang merumuskan bahawa perwujudan dan pelaksanaan tarif khas tersebut akan mendatangkan kejayaan yang lebih tinggi daripada program tenaga boleh diperbaharui yang telah dilaksanakan sejak tahun 2001?
YAB Perdana Menteri juga telah beberapa kali menyatakan bahawa Malaysia akan mencapai sebanyak 2000 MW kapasiti tenaga boleh baharu menjelang 2020 bagi membekal sebanyak 9% sumber tenaga elektrik Negara. Adakah sasaran ini bergantung kepada pelaksanaan RUU Tenaga Boleh Baharu ini sahaja?
Sekiranya kita membandingkan sasaran Malaysia tersebut, ianya adalah amat kecil berbanding dengan negara-negara lain. Menurut maklumat daripada Rewable Energy Policy Network for the 21st century, iaitu REN 21 (www.ren21.net), kita dapati bahawa negara seperti Jerman mensasarkan sebanyak 35% penjanaan tenaga daripada sumber tenaga boleh diperbaharui menjelang tahun 2020. Sepanyol pula mensasarkan sebanyak 40%, dan China sebanyak 15% pada tahun 2020. Jiran kita Negeri Thai pula mensasarkan sebanyak 20% iaitu 5600 MW kapasiti tenaga boleh baharu pada tahun 2022. Oleh itu, saya berharap agar pihak Kerajaan akan dapat mengkaji semula sasaran Negara sebanyak 2000 MW pada tahun 2020 tersebut dan meletakkan sasaran yang lebih tinggi bagi menunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia memang serius dari segi menerajui pembangunan teknologi hijau, khususnya sasaran penjanaan tenaga solar pada tahun 2020. Kita perlulah lebih agresif dalam aspek ini memandangkan Malaysia kini merupakan negara pengeluar tekologi solar yang ketiga terbesar di dunia. Saya berharap pihak Kerajaan juga dapat memaklumkan akan halangan yang wujud bagi mencapai sasaran yang tinggi tersebut supaya semua pihak dan rakyat akan dapat memahami dan akan dapat sama memberi sumbangan masing-masing.
Isu Berkenaan Dengan Feed-In-Tariff (FIT)
FIT Malaysia Meniru Negara Jerman
Datuk Yang di pertua, saya telah membuat kajian tentang pelaksanaan FIT di negara lain seperti Negara Jerman, Sepanyol, Itali dan Korea. Mereka mewujudkan FIT semata-mata untuk mewujudkan permintaan kepada sistem dan peralatan komponen solar fotovoltaik (PV). Daripada pengamatan saya, saya dapati RUU ini adalah adaptasi daripada FIT di Negara Jerman. Malangnya kita hanya meniru, tetapi tidak faham akan perkara yang tersirat. Di Negara Jerman, bagi menjayakan mekanisma FIT, kerajaan Jerman telah menyediakan peruntukan yang besar untuk membuat kajian dan penyelidikan di bidang komponen dan peralatan yang berkaitan dengan solar PV, biomas, biogas dan hidro. Sebab itulah, hari ini, bila negara kita meniru mekenisma FIT Negara Jerman, kita juga terpaksa mengimpot semua peralatan solar PV dari luar negara yang memenuhi piawaian TUV Jerman.
Datuk yang diPertua, saya simpati dengan seorang usahawan tempatan yang membuka kilang solar panel di Terengganu. Beliau mengeluarkan solar panel dengan sokongan teknikal daripada universiti tempatan yang mendapat dana dari Program Suria 1000. Malangnya, mereka dihalang daripada membekal solar panel kepada Projek Suria 1000 di bawah seliaan KETTHA kerana pada masa itu mereka tidak mempunyai piawaian TUV Jerman.
Saya bimbang apabila FIT di laksanakan di negara kita, orang lain yang akan mendapat keuntungan lebih besar daripada kita. Saya cadangkan kerajaan menyediakan dana FIT ini merangkumi dana untuk penyelidikan, pengeluaran peralatan solar PV serta proses pengujian pencapaian piawaian di makmal antarabangsa.
Contoh yang baik adalah sektor biomass.: tidak ada negara di dunia ini mempunyai bekalan EMPTY FRUIT BUNCH (EFB)daripada kelapa sawit yang besar seperti Malaysia dan Indonesia. Oleh kerana kita tidak mempunyai jati diri dan program kajian, penyelidikan dan pengkomersilan, kita telah import teknologi ini daripada Negara Barat. Akibatnya , semua projek biomas tidak dapat mencapai “yield” pengeluaran tenaga yang telah ditetapkan oleh Negara Barat. Sedangkan, Negara kita mempunyai banyak pengeluar sistem dandang(boiler) berasaskan sumber EFB dan Rice husk tempatan yang lebih cekap.
Di sini, saya ingin tanya YB Menteri, apakah pengalaman dan pengajaran yang Kementerian dapati daripada Program Suria 1000 dan program SREP. Apakah program tersebut menyumbang kepada pengurangan harga, dan macam manakah FIT akan mempengaruhi sistem harga tenaga boleh diperbaharui pada masa akan datang?
Seksyen 23: Kumpulan Wang Tenaga Boleh Baharu
Seksyen 23 dalam RUU ini menyatakan bahawa Kumpulan Wang Tenaga Boleh Baharu akan diwujudkan. Walau bagaimanapun, RUU ini tidak menyatakan tentang sumber utama Kumpulan Wang tersebut dan jumlah yang boleh dikutip untuk Kumpulan Wang tersebut setiap tahun. Apakah kerajaan akan menaikkan bil elektrik sebanyak 1% untuk menyumbang kepada “Renewable Energy Development Fund”? Ini bermaksud pengguna atau “end consumer” akan menyumbang kepada dana tersebut. Saya minta kerajaan menerangkan bagaimanakah penggunaan tenaga boleh diperbaharui akan dipromosikan kepada orang awam dan bagaimanakah mereka akan terima manfaat daripada RUU ini? Daripada jumlah tersebut, agaknya berapa banyakkah tenaga boleh diperbaharui boleh dilaksanakan?
Apakah rakyat-jelata boleh bermanfaat daripada Kumpulan Wang tersebut dan adakah rakyat yang akan menyumbang melalui Seksyen 24 (peruntukan daripada tarif elektrik) akan mendapat peluang tersebut?
Seksyen 24: Peruntukan Daripada Tarif Eletrik
Seksyen 24 dalam RUU ini memperuntukan bahawa Menteri boleh memerintah seseorang pemegang lesen pengagihan untuk memperuntukkan dan memberi sumbangan ke dalam Kumpulan Wang Tenaga Boleh Baharu (Seksyen 23) apabila dikehendaki.
Soalan saya ialah, adakah ianya akan melibatkan semua pemegang lesen pengagihan? Adakah ini merupakan cara yang paling berkesan dan adil untuk membangunkan tenaga boleh diperbaharui, dan adakah pihak Kerajaan telah mengkaji cara-cara lain yang tidak akan membebankan rakyat? Apakah kerajaan pernah mengkaji kesannya kepada rakyat jika dasar ini dilaksanakan dan bilakah ianya akan dilaksanakan?
Di bawah Economic Transformation Programme, Kerajaan berhasrat untuk membangunkan tenaga nuklear menjelang tahun 2020. Saya ingin tahu, berapakah kos pembangunan tenaga nuklear tersebut dan pihak manakah yang akan membiayainya? Kenapakah bajet bagi tenaga nuklear tersebut tidak digunakan sebagai sumbangan kepada Kumpulan Wang Tenaga Boleh Baharu? Kenapakah dana ini tidak dikutip daripada pelbagai cukai, seperti petroleum, dan bukan sahaja daripada pengguna tenaga elektrik?
Dengan tambahan bajet tersebut, kita sudah tentu boleh mencapai sasaran tenaga boleh diperbaharui yang lebih tinggi, bersama dengan inisiatif kecekapan tenaga yang lebih agresif, dan Malaysia sudah tentu tidak akan memerlukan tenaga nuklear.
Oleh itu, saya minta pihak Kerajaan supaya benar-benar serius untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berteknologi hijau yang manpan, dan melaksanakan peningkatan kecekapan penggunaan tenaga serta sistem FIT yang berkesan, memberi sokongan dan bantuan penuh terhadap pelaksanaan co-generation dan juga pembangunan smart grid yang menyeluruh.
Dengan sasaran teknologi hijau ini, Malaysia boleh menunda tarikh pelaksanaan tenaga nuklear yang sekarang menimbulkan macam-macam masalah di Negara Jepun. Berbanding dengan negara-negara lain termasuk Thailand, sasaran tenaga teknologi hijau adalah difikirkan terlalu rendah, seumpana melepaskan batuk di tangga atau usaha hangat-hangat tahi ayam sahaja.
Saiz Pasaran Tenaga Solar Yang Ditetapkan 9 MW Setahun Adalah Amat Tidak Menarik Bagi Pelabur Solar
Datuk yang diPertua, saya diberitahu oleh peniaga dan pelabur di bidang industri solar bahawa selepas rang undang-undang ini dilaksanakan, kerajaan hanya membenarkan TNB untuk membeli 9 MW tenaga boleh diperbaharui daripada industry solar pada tahun pertama, 11 MW pada tahun kedua, 15 MW pada tahun ketiga dan 18 MW pada tahun ke empat. Saiz pasaran tenaga solar dengan kadar yang begitu rendah ini menunjukkan bahawa Kerajaan memang tidak serius untuk menggalakkan pengeluaran tenaga solar.
Saya ingin tahu, kenapakah perlu wujud kekangan tersebut? Kita telah dimaklumkan pada tahun lepas bahawa Economic Transformation Programme mensasarkan kapasiti tenaga solar sebanyak 1,250 MW pada tahun 2020. Bagaimanakah sasaran ini akan dicapai jika wujud kekangan yang saya nyatakan tadi? Adakah pihak KeTTHA dan PEMANDU masing-masing mempunyai sasaran yang berbeza dan adakah ini akan menyebabkan pelaksanaan yang bertindih dan hanya akan merugikan negara. Adakah sasaran 1,250 MW tersebut seterusya akan termasuk di bawah sistem FIT?
Baru-baru ini, saya tanya seorang pelabur pengeluaran produk solar jenis IKS dari Negara China tentang berapa kapasiti pengeluaran kilangnya, beliau berkata kapasitinya adalah 100 MW setahun. Sekiranya sebuah kilang pengeluaran modul solar IKS di Negara China pun mampu mengeluarkan 100 MW setahun, bukankah 9 MW yang ditetapkan oleh kementerian tersebut langsung tidak menarik pelabur asing dan pelabur tempatan dalam bidang solar?
Kita tahu terdapat beberapa syarikat solar pelaburan asing di Malaysia seperti Q Cell, First Solar, Sun Power dan sebagainya, kesemua kilang pelaburan asing ini mengeluarkan modul solar untuk dieksport ke luar Negara, dan kapasiti kilang mereka mencapai 600 MW dan ke atas. Jadi dengan mentetapkan saiz pasaran sebanyak 9 MW ini, ini bermaksud kerajaan langsung tidak berminat dan tidak serius untuk menggalakkan pertumbuhan pengeluar solar di Malaysia dan ia memang tidak akan menyumbang kepada pertumbuhan perniagaan dalam industri solar.
Datuk yang diPertua, harga pasaran solar adalah lebih kurang RM15-20 juta satu MW dengan anggapan keuntungan sebanyak 20%. Sekiranya kerajaan menetapkan saiz pasaran sebanyak 9 MW setahun, maka nilai pasaran hanyalah RM135 juta – RM180 juta setahun. Angka ini adalah jauh daripada sasaran yang ditetapkan oleh Economic Transformation Programme (ETP) yang menetapkan sasaran sebanyak RM2.5bilion pada tahun 2020. Jadi, macam manakah kementerian dapat mencapai sasaran ETP tersebut?
Had Ekuiti Bagi Pelabur Asing Yang Ingin Melabur Dalam Solar Farm
Datuk yang diPertua, saya difahamkan daripada pelabur solar photovoltaic bahawa pelabur asing hanya dibenarkan untuk memegang 49% ekuiti dalam solar farm sahaja. Kenapakah peraturan tersebut diadakan? Bukankah ini menyekatkan pelaburan dalam bidang solar? Bukankah ini bercanggah dengan keinginan kerajaan untuk menggalakkan penggunaan solar photovoltaic?
Sekiranya seseorang pelabur ingin mendirikan 1 MW solar farm, apakah mereka diberi semua faedah dan insentif dalam RUU tersebut?
MBIPV
Datuk yang diPertua, Saya dimaklumkan oleh pemain industri bahawa, Kettha telah belanja sebanyak RM 80 juta untuk membiayai program MALAYSIA BUILDING INTEGRATED PHOTOVOLTAIC (MBIPV)dengan izin. Daripada peruntukan ini, RM 20 juta telah dibelanjakan untuk tujuan promosi. Mengikut laporan kemajuan projek,sehingga akhir tahun 2010, sebanyak 1.5Mwatt sistem solar PV telah di pasang di bumbung premis. Daripada angka itu hanya 985 kwatt saja yang telah disambungkan kepada grid. Kapasiti ini kalau di darab dengan kadar harga solar PV di pasaran sebanyak RM20,000 satu Kilowatt, ia baru bernilai sebanyak lebih kurang RM20 juta. Di mana perginya baki daripada RM80 juta, iaitu sebanyak RM40 juta tersebut? Apakah RM40 juta ini telah disalahgunakan dalam urusan lain?
Jadual Seksyen 2 dalam RUU: Insentif Tidak Mencukupi Bagi Pengeluar Sistem Solar
Sehubungan dengan itu, mengikut Jadual dalam seksyen 2 dalam RUU ini, ia menetapkan kadar tariff galakan bagi penggunaan modul fotovoltaik suria yang dibuat atau dipasang secara tempatan sebanyak RM0.03 setiap kilowatt jam, manakala penggunaan alat penyongsang suria yang dibuat atau dipasang secara tempatan hanya diberi insentif RM0.01 setiap kilowatt jam sahaja. Sebenarnya, sekiranya kerajaan ingin menggalakkan orang ramai untuk menggunakan modul fotovolta suria ataupun alat penyongsang suria buatan tempatan, kerajaan sepatutnya sepatutnya menambah insentif daripada 3 sen atau 1 sen ke 50 sen, insentif seperti ini baru dapat menggalakkan pengguna tempatan untuk membeli modul fotovolta suria dan penyongsang suria buatan tempatan kerana ia jauh lebih murah daripada buatan luar Negara.
Di sini, saya ingin tanya, macam manakah kerajaan boleh memberi sokongan kepada pengeluar solar PB ataupun pengeluar inverter supaya mereka boleh bersaing dengan pengeluar di dunia antarabangsa manakala pasaran FIT tempatan akan memberi peluang kepada pengeluar tempatan untuk menambahbaikkan produk mereka dan berjaya di pasaran antarabangsa. Misalnya di Negara China, kerajaan Negeri China membantu syarikat di negaranya untuk menubuhkan kilang dan memberi modal permulaan kepada syarikat tersebut dan mewujudkan kepakaran dalam teknologi tersebut. Kerajaan China juga menyokong syarikat berkenaan pada tahun-tahun permulaan sehingga ke tahun kelima sahaja, supaya syarikat tersebut dapat bersaing dengan pasaran global.
Sehubungan dengan itu, apakah potensi untuk orang ramai untuk mendapat pulangan daripada memasang sistem solar di rumah melalui RUU ini? Apakah hanya orang yang kaya sahaja yang mampu memasang sistem solar dan bagaimanakah Kerajaan memastikah bahawa peluang orang biasa tidak akan diambil-alih oleh pihak syarikat besar daripada mendapat insentif dan manfaat pemasangan sistem solar?
Kenapakah RUU Tidak Dimasukkan Dalam (IRP) INTEGRATED RESOURCE PLANNING?
Datuk yang di pertua, bagi menjayakan RUU Tenaga Boleh Baharu ini, kerajaan seharusnya lebih komited dengan mengambil angka kapasiti tenaga yang boleh diperbaharu ini sebagai kapasiti yang affirmative dan memasukkannya kedalam (IRP) INTEGRATED RESOURCE PLANNING. Sekiranya kerajaan mensasarkan 100MW jam daripada sumber tenaga boleh diperbaharui, maka kerajaan patut mengurangkan subsidi kepada bekalan 100Mwatt jam tenaga yang dijana oleh penjanaan sumber berasaskan fosil, barulah dapat mengimbangi kewangan kerajaan. Kerajaan haruslah menggunakan semua sumber yang ada demi menjayakan RUU ini.
Cadang Memindahkan Kapasiti dan Tarif Tenaga Biomass Kepada Solar
Datuk yang diPertua, tenaga yang boleh diperbaharui “Biomass” juga termaktub dalam Jadual Seksyen 2 dalam RUU ini, Saya difahamkan bahawa sasaran projek Biomass di Semenyih yang membakar sampah adalah 6MW, tetapi projek Biomass itu hanya menghasilkan 2 MW sahaja, ini bermaksud projek Biomass tersebut memang mendatangkan kerugian besar kepada syarikat berkenaan. Saya ingin tahu, apakah sebab kegagalan projek Biomass tersebut? Apakah kementerian pernah menjalankan kajian terhadap kegagalan projek tersebut?
Sekiranya pengeluaran tenaga boleh diperbaharui Biomass ini bukannya kekuatan kita, saya ingin cadangkan supaya kerajaan memindahkan kapasiti yang diperuntukkan di bawah Biomass itu dipindah ke tenaga solar photovoltaic kerana tenaga solar photovoltaic ini lebih mudah digunapakai untuk mengeluarkan tenaga boleh diperbaharui.
RUU Tidak Menggunapakai Sasaran Kecekapan
Datuk yang di pertua, saya hairan kenapakah RUU ini tidak menggunapakai sasaran kecekapan (efficiency target) pengeluaran tenaga, yakni “energy yield”. Kita semua maklum, kalau sebuah pepasangan mempunyai kapasiti 10 megawatt, ia mesti menjana 85% hasil(yield). Contohnya, Empangan MADA, dari segi kapasitinya, ia mampu menjana 10,000kilo watt. Tetapi oleh kerana semulajadi, semua sumber tenaga boleh diperbaharui ini beroperasi secara bermusim. Pada musim hujan, ia mampu menjana secara maksima, tetapi pada musim kemarau, empangan ini tidak dapat menjana tenaga yang maksima.
Sebenarnya, pendekatan energy yield ini akan memberi hasil yang lebih baik dan akan dapat memberi bekalan tenaga boleh diperbaharui kepada grid dengan lebih stabil dan kebolehan yang tinggi. Saya ingin minta pihak Kementerian mengkaji aspek ini.
Bank dan Institusi Kewangan Tempatan Tidak Berminat Untuk Memberi Pinjaman Kepada Pelabur Solar Tempatan
Datuk yang diPertua, saya pernah terima aduan dan rintihan daripada peniaga dan pelabur tempatan dalam bidang solar photovoltaic bahawa mereka memang menghadapi masalah untuk mendapat pinjaman daripada bank walaupun mereka dapat kelulusan daripada Green Technology Corporation. Saya difahamkan bahawa Green Technology Corporation telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1.4 bilion kepada pelabur solar photovoltaic, tetapi bank hanya meluluskan pinjaman sebanyak RM100 juta yang diberi kepada 16 syarikat sahaja sehingga hari ini. Ini menunjukkan pihak bank dan institusi kewangan memang tidak memberi kerjasama untuk membantu pertumbuhan pelaburan dalam bidang solar dan teknologi hijau.
Di sini, saya ingin mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan satu dana sebanyak RM1.3 bilion untuk dijadikan sebagai pinjaman kepada suri rumahtangga ataupun ibu tunggal untuk melabur dalam bidang solar ini, supaya suri rumahtangga dan ibu tunggal ini boleh mendapat pulangan daripada pelaburan secara bulanan selepas bayaran modal.
Kos Tenaga Nuklear Lebih Mahal Daripada Tenaga Diperbaharui
Di sini, saya juga ingin menyatakan kekesalan saya terhadap kenyataan YB Menteri dan TPM yang masih degil ingin mengadakan tenaga nuklear selepas menyaksikan krisis nuklear di Fukushima di Jepun. Saya berpendapat kerana keinginan untuk mengadakan tenaga nuklear inilah yang menyebabkan kementerian kelihatan tidak serius dan tiada kehendak politik untuk menggalakkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui tersebut.
Tujuan kerajaan menghendaki loji tenaga nuklear dibina adalah kerana kononnya kosnya lebih murah daripada kos tenaga boleh diperbaharui. Sebenarnya, ini adalah satu fakta yang tidak benar.
Kajian pro-nuklear Massachusetts Institute of Technology (MIT) pada 2009 menunjukkan bahawa peningkatan tenaga kecekapan kos nuklear hanya ditunjukkan secara teori, tetapi tidak dibuktikan secara praktikal.
Dari pengalaman Korea Selatan dan Jepun, kos purata tenaga nuklear telah naik sebanyak 25%. Di Finland, kos purata telah meningkat sebanyak 90%. Di Amerika Syarikat, kos telah meningkat sebanyak 5 kali ganda sejak 1970-an. Di Peranchis, kos telah meningkat sebanyak 3 kali ganda sejak 1970-an.
Kebanyakan loji nuklear di seluruh dunia telah mengalami peningkatan kos disebabkan penangguhan yang berlanjutan. Dari pengalaman kita sendiri di Malaysia, pelbagai projek mega mengalami peningkatan kos, penangguhan dan kes rasuah.
Dalam senario kes terburuk bagi cadangan pembinaan dua buah loji nuklear di Malaysia, kerajaan dan para pembayar cukai perlu “bail-out” para pelabur dengan RM 50 bil (anggaran Standard & Poor), jauh melebihi anggaran kerajaan yang sebanyak RM 21.3bil
Di samping itu, kos mempersarakan atau “decommissioning” loji nuklear teramatlah tinggi, sama mahal dengan kos pembinaan. England pernah membelanjakan sehingga $114bil hanya untuk decommission loji yang sudah terlampau lama dan buruk.
Kos Sosial
Sekiranya kita lihat kos sosial yang pernah dibiayai oleh kerajaan di negara lain atas bencana nuklear, kosnya adalah jauh lebih tinggi daripada apa yang mampu dibiayai oleh Kerajaan Malaysia.
.
Dalam Bencana Chernobyl di Ukraine, beratus-ratus manusia telah meninggal akibat radiasi. Ini merupakan kesan negative nuklear yang dialami secara langsung. Ribuan orang yang telah dan akan meninggal kerana kanser kerana terkena radiasi. Kawasan Chernobyl kini merupakan zon pengecualian seluas 30km2, lebih kurang saiz negeri Melaka.
Bagi pengalaman England, sehingga kini kerajaan mereka masih lagi menyumbang subsidi kepada petani di Wales untuk membunuh anak-anak kambing yang dipelihara di kawasan bukit yang tercemar dengan kesan radioaktif. Paling penting sekali, masih belum ada penyelesaian jangka masa panjang untuk membuang sisa nuclear yang akan terus berbahaya selama beribu-ribu tahun.
Pembinaan tempat pembuangan sisa nuklear di Finland bernama Onkalo menelan belanja RM 12.5bil.
Sisa nuclear perlu diasingkan selama sekurang-kurangnya 100,000 tahun. Saya tidak mempunyai keyakinan bahawa kerajaan dapat menjamin bahawa tempat pembuangan sisa nuclear dapat bertahan begitu lama, tanpa sebarang masalah.
Kesimpulan
Impak Terhadap Dasar Tenaga Boleh Diperbaharui
Datuk yang diPertua, sekiranya kita melihat satu pengiraan tentang impak tenaga boleh diperbaharui sehingga tahun 2020. Ia menyatakan, dengan izin:
•Minimum RM 2.1 billion savings of external cost to mitigate CO2 emissions (total 42 million tonnes avoided from 2011 to 2020, on the basis of RM 50 per tonne of external cost);
•Minimum RM 19 billion of loan values for RE projects, which will provide local banks with new sources of revenues (at 80% debt financing for RE projects);
•Minimum RM 70 billion of RE business revenues generated from RE power plants operation, which can generate tax income of minimum RM 1.75 billion to Government(on basis of 10% profit value where income tax is 25% on profit);
•Minimum 52,000 jobs created to construct, operate and maintain RE power plants (on the basis of 15-30 job per MW).
Demi mencapai sasaran tersebut, RUU ini sangat penting di dalam menjana ekonomi di abad akan datang. Pertaruhan kerajaan adalah sangat besar dalam memastikan kejayaan RUU ini supaya ia akan memberi impak yang besar kepada Negara menjelang tahun2020.
Kita harus buat kerja baik baik dan kongsi keuntungan RUU ini bersama semua rakyat. Kita perlulah lebih terbuka dan berani membuat keputusan didalam industri tenaga boleh diperbaharu ini. kita mesti memastikan bahawa rakyat Malaysia dapat menikmati laba daripada RUU ini.
Teresa Kok
Dear YB,
I have some comment on your comment regarding the market cap of 9MWp for solar.
The essence of green energy is to empower local community to produce their own energy without the need for importing energy from outside (country or region). Hence, the term energy security and SUSTAINABLE.
In the context of this RE bill, your comment that the industry is not big enough for foreign investor is against the concept above. Since the RE fund is funded by Malaysian resident/citizens, the income generated should benefit Malaysian citizen/residents only ideally. Foreign investor should not profit from RE fund where the money is pooled by Malaysian. We should allow the market to gradually grow and accept and embrace the technology also to build up industry locally.
What is more important is the need to protect local supply chain, local system integrator wherever we can to discourage foreign capitalist to profit from the Malaysian public money and outflow.
In the context of this law, i think the government has taken into consideration the above. When we look at renewable energy, we need to look at the ‘green’ side of it and also the SUSTAINABILITY.
Let the Malaysian public decide the potential and size of this industry and not influx of foreign capital to drown out the local industry player.
Thank you.