Ucapan saya akan menyentuh Kementerian Wilayah Persekutuan, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Kementerian Komunikasi, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
1. Sebagai ahli parlimen di Kuala Lumpur, saya rasa hairan Kementerian Wilayah Persekutuan membubarkan Lembaga Eksais di DBKL yang dipertanggungjawabkan untuk mengkaji dan meluluskan permohonan lesen penjualan arak di Kuala Lumpur pada 2 Jun 2020 secara tiba-tiba.
Arak adalah minuman yang haram dalam Islam, tetapi ia bukan isu yang begitu sensitif bagi penganut agama lain, selagi seseorang minum secara sederhana dan tidak melakukan perkara yang tidak baik seperti memandu selepas minum, ia tidak dipandang begitu serius.
Dalam jawapan bertulis Parlimen daripada Kementerian Wilayah Persekutuan berkenaan isu ini, Menteri WP memberi alasan bahawa DBKL ingin menjalankan kajian dan penandarasan dengan modul pengurusan pengeluaran lesen minuman keras oleh negara lain contohnya Singapura yang menghadkan waktu penjualan minuman keras, penjualan keras secara runcit adalah dilarang dari jam 10.30 malam sehingga 7 pagi. Selain itu, kajian ini akan dilakukan bersama dengan kementerian dan agensi kerajaan yang lain.
Saya difahamkan mengikut peraturan yang diberi oleh kerajaan kepada pasaraya dan kedai runcit, orang ramai tidak boleh membeli arak selepas pukul 9 malam di seluruh negara, dan pasaraya akan tutup bahagian penjualan arak pada 9 malam. Kita sudah mempunyai peraturan yang lebih ketat berbanding dengan Singapura dari segi penjualan arak secara runcit. Apa lagi yang perlu dikaji oleh Kementerian WP?
Kuala Lumpur adalah ibukota negara kita. Kuala Lumpur adalah bandar terbesar di Malaysia yang mempunyai paling ramai pelancong asing dan peniaga asing. Kementerian WP tidak boleh membubarkan satu lembaga yang mengkaji dan memproses permohonan penjualan arak secara tiba-tiba tanpa alasan yang munasabah, kerana tindakan ini akan menjejaskan bisnes tempat hiburan dan restoran di ibukota kita, dan ini akan memberi gambaran yang salah kepada pelancong asing.
Saya terbaca Kementerian WP telah melantik beberapa orang untuk menjadi anggota baru dalam Lembaga Eksais beberapa hari yang lepas, tetapi saya difahamkan perlantikan anggota lembaga baru ini akan makan masa yang panjang sebelum mereka boleh buat apa-apa keputusan. Nama yang dilantik ini perlu diluluskan oleh Kementerian Kewangan dan perlu diwartakan, lepas itu mereka baru boleh memproseskan permohonan penjualan arak.
Saya difahamkan lesen penjualan arak di banyak pub dan restoran di Kuala Lumpur akan tamat dalam beberapa minggu yang akan datang. Ketiadaan lembaga eksais DBKL yang sah akan menyebabkan banyak pub dan restoran berniaga dan menjual arak tanpa lesen yang sah, dan menyebabkan mereka terdedah pada serbuan daripada pihak polis, pegawai dbkl dan kastam, dan menyebabkan para peniaga terpaksa tunduk kepada pemberian rasuah.
Pada 26 Julai, 8 persatuan perniagaan mengadakan satu sidang akhbar bersama. Mereka merayu pihak Menteri Wilayah Persekutuan untuk mengadakan perjumpaan dengan mereka berkenaan isu ini. Sekiranya Kementerian WP ingin mengadakan rundingan/consultation untuk mengeluarkan garispanduan baru, maka Kementerian mestilah mengadakan perjumpaan dengan pemegang taruh, iaitu golongan bisnes yang berkaitan. Tetapi para persatuan ini tidak pernah dijemput oleh Kementerian untuk mengadakan dialog berkenaan dengan isu ini.
Mereka juga menyeru DBKL untuk memaparkan sistem permohonan penjualan arak secara terbuka dan telus, dan DBKL haruslah memudahkan proses pembaharuan lesen penjualan arak secara automatik setiap tahun, sebagai langkah untuk memudahkan bisnes di Kuala Lumpur. DBKL hanya boleh membatalkan lesen mereka sekiranya mereka didapati melanggari peraturan yang termaktub dalam perlesenan DBKL tersebut.
Saya menyeru Menteri WP mengadakan perjumpaan dengan mereka dalam masa terdekat untuk menyelesaikan masalah ini.
2. Kenapakah nama Kementerian ditukar kepada Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi? Pertukaran nama kementerian sebenarnya mewujudkan kekeliruan dan masalah bagi Kementerian, misalnya, hos email kementerian dan nama ringkasan kementerian perlu ditukar. Bila saya pegang jawatan Menteri Industri Utama, nama singkat kementerian telah ditukar daripada MPIC (Ministry of Plantation Industries and Commodity) kepada MPI (Ministry of Primary Industries), tetapi sekarang nama kementerian bertukar lagi. Nama kementerian sekarang adalah terlalu panjang dan susah diingat. Selain itu, kita mesti terima fakta bahawa Malaysia adalah negara pertanian, tetapi produk pertanian yang kita eksport ke luar negara adalah minyak kelapa sawit dan produk getah. Di Malaysia, 74% kawasan pertanian ditanam dengan pokok kelapa sawit. Sementara itu, minyak sawit dan produk sawit merupakan eksport Malaysia yang ketiga besar selama ini. Hasil eksport minyak sawit pada tahun 2019 ialah RM64.8 bilion, ia merupakan 3.5% sumbangan KDNK.
Jadi memang tidak salah bagi Kementerian yang menjaga komoditi perladangan ini dinamakan Kementerian Industri Utama, kerana Kementerian ini mengawasi industri perladangan minyak sawit, getah dan komoditi lain daripada huluan ke hiliran. Istilah “industri utama” memanglah nama yang tepat.
Saya juga ingin tanya apakah YB Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi masih mengikuti 4 dasar baru penanaman sawit yang telah diluluskan oleh kabinet dan majlis tanah negara pada tahun lepas? Empat dasar penanaman sawit baru ialah: (i) Mengehadkan kawasan penanaman sawit pada 6.5 juta hektar, dan kawasan penanaman sawit yang didaftarkan oleh MPOB ialah 5.9 juta hektar setakat akhir tahun 2019. (ii) Pengusaha sawit dilarang menjalankan penanaman sawit di kawasan simpanan hutan. (iii) Larangan menanam pokok kelapa sawit di kawasan tanah gambut, dan (iv) Membuka peta penanaman sawit untuk semakan umum.
Keempat-empat dasar ini adalah demi menambahbaikkan imej pengeluaran sawit negara dan melawan tohmahan terhadap pengeluaran sawit kita di masyarakat antarabangsa. Bilakah peta penanaman sawit akan siap disediakan untuk semakan orang ramai?
Bagi MSPO (Malaysian Sustainable Palm Oil) pula, berapa peratus pekebun kecil sawit telah dipersijilkan MSPO setakat sekarang? Apakah YB Menteri akan terus memperjuangkan kos pensijilan mspo pekebun sawit akan terus ditanggung oleh kerajaan.
Saya terbaca bahawa YB Menteri telah menukar slogan kempen “sayangi sawitku” (Love MY Palm Oil) kepada “Sawit Anugerah Tuhan”. Saya memuji YB Menteri meneruskan kempen mempromosi sawit di kalangan warga Malaysia. Walau bagaimanapun, bila saya menetapkan slogan kempen “Love MY Palm Oil” dan “sayangi sawitku”, sasaran kita bukan pada warga Malaysia sahaja, tetapi kita sebenarnya ingin mensasarkan warga asing yang melawat Malaysia, di mana kita mensasarkan masyarakat dunia dari Malaysia, atau “From Malaysia we speak to the world”.
Saya juga ingin sentuh isu berkenaan dengan pekerja di sektor perladangan. Saya baca kerajaan PN telah membekukan pengambilan pekerja asing ke negara kita, termasuk sektor perladangan. Saya mengalu-alukan usaha Kementerian untuk menggalakkan warga Malaysia untuk bekerja di lading sawit, dan Menteri malah menyatakan para pekerja Malaysia akan dibayar RM3,000. Walau bagaimanapun, kita mesti terima fakta bahawa orang muda Malaysia memang tidak suka bekerja di sektor pertanian, termasuk ladang sawit dan ladang getah. Itu sebab pengusaha sektor pertanian dan perladangan memang amat memerlukan pekerja asing untuk melakukan kerja di ladang.
Mengikut kenyataan yang dikeluarkan oleh Persatuan Pemilik Ladang Malaysia (MEOA) yang bertarikh 26 Jun 2020. Ketidakcukupan tenaga kerja akan menyebabkan industri penanam sawit mengalami kekurangan 12.5% pengeluaran sawit setahun yang bernilai RM12 bilion satu tahun.
Memandangkan sektor perladangan, khususnya sektor kelapa sawit adalah begitu penting bagi eksport negara, saya ingin mencadangkan Menteri Perusahaan Perladangan memberi penerangan yang menyeluruh kepada Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia tentang kerugian yang dialami oleh Malaysia berikutan pembekuan pekerja asing.
3. Apakah dasar media Perikatan Nasional? Apakah kerajaan PN menuju ke arah penyekatan kebebasan media (press freedom) seperti apa yang berlaku dalam tempoh Barisan Nasional?
Saya merasa kesal semakin ramai orang termasuk aktivis dan berhormat Segambut orang disoal-siasat oleh polis atas tulisan mereka di media sosial dan juga akhbar. Saya amat kecewa atas tindakan yang diambil oleh kerajaan PN terhadap wartawan dan penerbit dokumentari filem “Locked up in Malaysia’s Lockdown” di stesen TV Al Jazeera. Para wartawan dan penerbit disoal siasat di bawah seksyen 22(1) Akta Finas dan juga akta hasutan. Selain itu, stesyen TV Astro juga dikenakan denda kerana menyiarkan dokumentari “Murder in Malaysia” berkenaan pembunuhan Altantuya di Astro saluran 153.
Selepas itu, Menteri Komunikasi berkata semua pengeluaran dokumentari video TV mesti mendapat kelulusan daripada FINAS. Kenyataan beliau mengejutkan seluruh negara kerana ramai netizen termasuk ahli berhormat mengeluarkan klip video di media sosial kita.
Sehubungan itu, pekerja asing Bangladesh Md Rayhan Kabir, 25 yang muncul di filem dokumentari yang mendakwa layanan buruk oleh pegawai kerajaan itu telah diambil tindakan dan visa kerjanya juga dibatalkan.
“Malaysia Prihatin” telah dipilih sebagai tema Hari Kebangsaan. Sekiranya kerajaan Perikatan Nasional adalah kerajaan yang prihatin, maka kerajaan patut siasat dakwaan pekerja asing yang dikatakan dianiayai oleh pegawai penguatkuasaan, dan bukan ambil tindakan terhadap pihak yang mengeluarkan dokumentari filem dan pekerja asing tersebut.
Sebagai kerajaan yang prihatin, kerajaan perlu memberi subsidi kepada ujian Covid-19 kerana RM400 memang terlalu mahal.
Saya juga berpendapat SOP Covid-19 daripada kerajaan memang sangat mengelirukan, khususnya memakai mask di tempat awam yang akan berkuatkuasa pada 1 Ogos. Kita diberitahu bahawa kita tidak perlu pakai mask semasa bersenam, jadi sekiranya saya bersenam di Lake Garden, apakah saya perlu pakai mask kerana Lake Garden adalah tempat awam.
Bila kerajaan mengumumkan orang ramai boleh gunakan kolam renang awam dan gym, pengurusan kondominium saya masih melarang penduduk untuk gunakan gym dan kolam renang, kerana mereka masih tunggu SOP baru daripada KPKT. SOP KPKT bagi kondominium haruslah munasabah dan tidak terlalu ketat.
Ramai pengusaha restoran kecil tidak pasti tentang perlaksanaan SOP. Kita juga lihat gambar yang bertular di media sosial m menunjukkan pemimpin UMNO dan Menteri yang makan di restoran yang tidak tunjuk “social distancing”. Pada pagi ini, ramai penyokong YB Pekan berhimpun di luar kompleks mahkamah di Jalan Duta, mereka tidak menunjukkan “social distancing” dan tidak pakai mask juga. Kenapakah tiada tindakan diambil terhadap mereka?
Sekian, terima kasih.